HOKI
Amirul kukuh cengkaman dalam skuad remaja kebangsaan
Kapten Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, Amirul Hamizan Azhar, hampir pasti mengesahkan kedudukan dalam skuad Piala Sultan Johor, Oktober depan apabila muncul penjaring terbanyak saingan Liga Hoki Remaja Malaysia dengan 27 gol.
Amirul memainkan tugas penting dalam membantu SSTMI Thunderbolt meraih kejuaraan berganda musim ini berbekalkan 27 gol yang diraih tetapi dia menegaskan kejayaan itu dimiliki atas semangat berpasukan yang ada dalam kalangan rakan sepasukannya.
"Syukur kami dapat meraih kejuaraan ini tetapi jaringan yang saya peroleh adalah untuk pasukan dan bukan individu semata-mata.
Iklan
"Semua tahu bahawa pemain utama kami tidak dapat beraksi dan mungkin situasi sebaliknya, saya tidak akan meraih catatan itu," katanya.
"Jurulatih telah memberi taktikal dan saya hanya jalankan tugas. Cabaran pastinya lebih berat.
"Menjelang Piala Sultan Johor, saya perlu beraksi di tahap terbaik untuk mendapatkan tempat."
Sementara itu, ketua jurulatih skuad remaja negara, Nor Saiful Zaini, mengesan beberapa muka baru yang berpotensi mewakili negara selepas menyaksikan SSTMI Thunderbolt mendominasi Liga Hoki Remaja, dengan bergelar juara bagi saingan liga dan Piala TNB.
"Saya lihat ada pemain daripada SSTMI Thunderbolt serta Pahang yang mampu memperkuatkan pasukan. Kami perlu uji mereka di peringkat lebih tinggi," katanya.
Skuad remaja dijadual memulakan kem latihan pusat hujung bulan ini menjelang Piala Sultan Johor sambil Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh, yang menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2021 bakal berlangsung tahun depan.
"Kalau ada rezeki, boleh kami sertai pasukan remaja dan mungkin pasukan kebangsaan satu hari nanti," kata pemain terbaik final Piala TNB 2019, Shamir Rizmi Shamsul.
"Sebahagian besar pemain remaja berada dalam skuad SSTMI Thunderbolt dan Pahang. Saya lihat pemain remaja kini diterapkan dalam kem kebangsaan dan ia satu langkah yang bijak," tambah ketua jurulatih SSTMI Thunderbolt, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman.
Must-Watch Video