Skip to main content

Permotoran

Akid sertai Kem Master VR46

8517akid.jpg
Juara kebangsaan kategori CP115, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Muhammad Akid Aziz, terpilih bersama lima lagi pelumba terbaik seluruh Asia untuk menyertai latihan dalam Kem Master VR46, akademi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, di Tavullia, Itali, 10-14 Mei ini.

Pemilihan pelumba dilakukan berdasarkan kepada bakat, umur dan pencapaian dalam pelbagai siri perlumbaan dan turut bersama Akid di Itali ialah pelumba Thailand, Peerapong Boonlert,18, Anggi Setiawan, 18 (Indonesia), Shota Ite, 15 (Jepun), Brandon Demmery, 19 (Australia) dan Tomas Casas, 17 (Kanada).

Program selama lima hari itu memberi tumpuan terhadap kecergasan fizikal pelumba dan kawalan jentera, termasuk latihan menggunakan jentera 'dirt bike' yang dianggap antara latihan terbaik untuk membantu meningkatkan kemahiran pelumba.

Pelumba akan menerima latihan daripada Rossi sendiri bersama beberapa jurulatih akademi dan juara Flat Track Eropah, Marco Belli.

“Saya gembira dan bertuah dengan peluang yang diberikan ini serta turut berterima kasih kepada Hong Leong Yamaha dan pasukan saya, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor. 

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba seberapa banyak pengetahuan bagi meningkatkan prestasi saya pada masa akan datang," katanya.

Akid adalah pelumba kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia itu selepas juara kebangsaan kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin, pada tahun lalu.
 
Profil:

Nama: Muhammad Akid Aziz
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 18 tahun

Pencapaian terbaik:

2016 – Juara keseluruhan CP115, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.
2017 – Pendahulu keseluruhan (selepas 2 pusingan) kategori CP115, Kejuaraan Cub Prix AAM          Malaysia Petronas.
         – Pendahulu keseluruhan (selepas 2 pusingan) kategori Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC)

Advertisement

Must Watch Video