Skip to main content

Permotoran

Akid pertaruh pengalaman dalam Kem VR46

16517akid.jpg
Md Akid Aziz mengakui cukup teruja dengan pengalaman yang diperoleh dalam Kem Master VR46, akademi milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, di Tavullia, Itali dari 10-14 Mei lalu.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu telah menunjukkan peningkatan prestasi sepanjang berada di Itali, termasuk memenangi perlumbaan ketika sesi latihan menggunakan jentera miniGP.

Pelumba berusia 18 tahun itu berharap dapat memanfaatkan pengalaman di Itali dalam usaha untuk mengembangkan kariernya ke peringkat lebih tinggi, termasuk pada peringkat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Teluk Intan, Perak, minggu ini.

“Sesi latihan di Itali telah berakhir dan saya gembira dapat menunjukkan perkembangan baik di sana. Saya berterima kasih kepada Yamaha dan VR46 di atas sokongan dan usaha mereka,” kata juara CP115 musim lalu itu.

“Saya berharap dapat meneruskan latihan seperti ini apabila berada di rumah. Meskipun terdapat perbezaan, saya akan cuba melakukan sesuatu yang hampir serupa untuk membantu perkembangan karier saya.”

Turut bersama Akid di Itali ialah pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (18), Anggi Setiawan (18) dari Indonesia, Shota Ite (15) dari Jepun, Brandon Demmery (19) dari Australia dan pelumba Kanada, Tomas Casas (17).

Akid merupakan pelumba kedua negara yang terpilih menjalani latihan bersama juara dunia itu selepas juara kebangsaan kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin, pada tahun lalu.

Akid akan turun mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan CP115 dalam Pusingan 4 Cub Prix di Teluk Intan, Perak pada 20 dan 21 Mei ini. 

Advertisement

Must Watch Video