Kemampuan menjaringkan gol membuktikan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Faizal Saari masih lagi gandingan terbaik di jentera serangan skuad hoki negara tatkala tugas itu mula diambil alih oleh pemain muda.

Gandingan Tengku Ahmad Tajuddin dan Faizal meledak sepertiga daripada gol Malaysia dalam Kejohanan Pusingan AKhir Siri Hoki FIH di Bukit Jalil setakat ini.

Tumpuan lebih terarah kepada Tengku Ahmad Tajuddin, yang mendahului kedudukan penjaring terbanyak dengan tiga gol, termasuk satu ketika menewaskan Wales 2-1 dalam perlawanan 'cross-over', semalam.

"Kami tidak boleh berpuas hati di tahap ini.

"Perjalanan masih jauh, jadi selepas keluar daripada tekanan ini, ia memberikan kelegaan.

"Namun, kami tidak akan cepat berpuas hati," katanya.

Faizal pula memanfaatkan peluang beraksi di posisi penyerang untuk menjaringkan gol kedua walaupun lebih banyak bertindak sebagai pemain tengah dalam kejohanan di Stadium Hoki Nasional itu.

"Ia satu kepuasan dan saya perlu meneruskan perkara yang bagus seperti ini.

"Saya berharap semua rakan akan terus memberikan fokus untuk mara ke final," katanya.

Gandingan kedua-dua pemain itu tampak serasi apabila mengetuai jentera serangan dan ia sesuatu yang patut dipertimbangkan oleh ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans, untuk menghadapi Austria dalam separuh akhir esok.