Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Sejarah hitam skuad hoki negara

masita.jpg
Kekalahan kepada Itali mencatat sejarah hitam arena hoki negara apabila Malaysia tumbang 2-4, namun skuad kendalian Roelant Oltmans itu masih berpeluang mencapai sasaran muncul juara Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH.

Ia kekalahan pertama dalam sejarah hoki negara kepada Itali sejak pertemuan sulung pada 1978.

Siapa sangka Itali yang hadir selaku pasukan ranking tercorot berjaya menumbangkan tuan rumah yang diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini.

Percaturan jurulatih Itali, Roberto Da Gai, menggunakan corak bertahan nyata berkesan hingga memaksa penyerang negara melakukan banyak kesilapan.

"Sesuatu yang mengejutkan skuad negara. Kami kerap melakukan beberapa keputusan yang silap dan keyakinan Malaysia tidak berada di tahap yang terbaik," kata jurulatih negara, Oltmans.

Gol Malaysia dijaringkan Faizal Saari dan Muhammad Razie Abd Rahim sementara jaringan Itali disumbangkan Thomas Keenan, dua gol peribadi kapten, Agustin Nunez dan Francois Sior.

"Saya berasakan kami telah bermain dengan baik dan berani sepanjang permainan. Kami telah berusaha untuk mendapatkan keputusan ini," kata Da Gai.

Sementara itu, Faizal meminta Oltmans untuk menukarkan kembali posisinya sebagai penyerang utama.

"Walaupun kami tewas, kami perlu beraksi dalam suku akhir bertemu Wales. Saya berharap dapat melupakan perlawanan ini kerana ia adalah penentu nasib skuad hoki negara," kata Faizal.

"Saya berasakan kami masih lagi belum mendapatkan semangat menjaringkan gol dan mungkin saya perlu beraksi di bahagian serangan bagi membantu pasukan mencari jaringan."

Advertisement

Must Watch Video