Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Peranan baru Faizal

faizal-saari.jpg
Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, perlu segera menyesuaikan diri dengan posisi baru selaku pemain tengah menyerang jika mahu meledak gol sulung dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 apabila menentang China di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Dia merupakan penyerang utama negara sebelum ini tetapi situasi ketika ini menyaksikannya beberapa kali berubah posisi dan kini memikul amanat baru daripada ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

Situasi itu mungkin antara punca dia tidak mencetak nama selaku penjaring ketika Malaysia membelasah Brazil 6-0, kelmarin. 

"Apabila jurulatih bertukar kepada formasi 3-2-3-2, posisi saya kini lebih ke belakang. 

"Bagi saya, ia tiada masalah, cuma saya tidak mendapat sentuhan lagi.

"Insya-Allah saya akan cuba mencari jaringan dalam aksi selepas ini selain menang dengan mempamerkan permainan cantik," kata pemain kelahiran Terengganu itu. 

Kehadiran Nik Aiman Nik Rozemi, Azrai Aizad Abu Kamal di samping dirinya yang merupakan antara pemain terpantas dalam pasukan, turut memberi kelebihan kepada Oltmans untuk membuat percaturan. 

"Dengan adanya kami bertiga, jurulatih sering menggunakan gerakan di bahagian tepi padang, termasuk membabitkan saya. 

"Saya akan cuba mengikuti taktikal itu dengan baik. 

"Rekod saya ketika menentang China menyaksikan saya sering muncul sebagai penjaring tetapi keutamaan saya adalah memastikan kemenangan Malaysia untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B," tambahnya. 





 

Advertisement

Must Watch Video