Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Pengalaman liga Belgium, Belanda jadi sandaran Austria

austria-hoki.jpg
Austria sekali lagi menagih sentuhan pemain yang beraksi dalam Liga Belgium dan Belanda untuk menewaskan Malaysia dalam separuh akhir Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 selain diperkuatkan lapan pemain juara Piala Dunia Hoki Dalam Dewan.

Pertahanan, Dominic Uher, beraksi di Belgium sementara pemain tengah, Benjamin Standzl, berkelana di Belanda.

Mereka pernah bersaing dengan bintang Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti pasukan menjelang pertemuan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini. 

Kelibat kedua-dua pemain itu akan menjadi tumpuan, terutama bagi Austria ketika mendapat pukulan sudut penalti.

"Ia satu peluang menarik dapat beraksi di Belgium memandangkan tempo permainannya yang tinggi, jadi saya boleh tingkatkan permainan saya di sana. 

"Bagaimanapun, tahap permainan di antara Malaysia dan Eropah adalah berbeza tetapi kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing," kata Uher.

Tambah Standzl: "Ia satu kelebihan besar buat kami berpeluang beraksi dalam kancah Belgium dan Belanda.

"Ia menyuntik pengalaman dalam pasukan Austria selain tempo permainan yang tinggi menawarkan kelebihan kepada kami."

Austria akan turun selaku 'underdog' memandangkan mereka tewas kedua-dua pertemuan menentang Malaysia pada 2009.

Malah, mereka dijangka tertekan apabila beraksi di depan ribuan penyokong tuan rumah.

Advertisement

Must Watch Video