Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Oltmans dakwa pemain tidak faham taktikal

roelant-oltmans.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mendakwa anak buahnya tidak memahami pendekatan taktikal yang diterapkannya sehingga tewas 2-4 kepada Itali dalam aksi terakhir Kumpulan B, Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Bukit Jalil, semalam.

Gelaran naib juara Kumpulan B bermakna Malaysia terpaksa menghadapi Wales dalam aksi 'cross-over, malam esok untuk merebut tempat ke separuh akhir.

Ia kali pertama dalam sejarah Malaysia tewas kepada pasukan di ranking tercorot kejohanan, Itali.

Apa yang lebih mengecewakan adalah corak permainan Malaysia kian merosot sejak menewaskan Brazil 6-0 dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu.

Sama ada penjaga gol, pertahanan atau penyerang, semuanya serba tidak menjadi.

"Apa yang kami pamerkan hari ini (semalam) amat mengejutkan.

"Sudah pasti ia tidak memaparkan kualiti yang dimiliki pasukan.

"Apa yang paling bodoh adalah mereka masih lagi tidak memahami bagaimana untuk bermain dalam perlawanan seperti ini dengan cara yang betul.

"Kami melakukan terlalu banyak keputusan yang salah.

"Anda juga dapat melihat kelemahan mental mereka dalam perlawanan ini," katanya.

Itali, yang majoritinya dibarisi pemain 'semi-pro' di bawah 100 penampilan antarabangsa, mempamerkan corak bertahan di Stadium Hoki Nasional. 

Taktik bertahan dan melancarkan serangan balas pantas itu memerangkap Malaysia dengan empat gol.

Malaysia pula hanya menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Faizal Saari dan Razie Abdul Rahim.

Ia mengundang kebimbangan sama ada Malaysia mampu atau tidak untuk menewaskan Wales, malam esok.

"Kami pasukan ke-32 dunia dan apabila menentang pasukan di tangga ke-14, China, atau Malaysia (13), kami perlu menghormati mereka.

"Kami perlu memantapkan pertahanan dan kemudian mencari gol," kata ketua jurulatih Itali, Roberto Da Gai.

Advertisement

Must Watch Video