MALAYSIA 3 AUSTRIA 1
Malaysia melangkah ke final Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 selepas mengatasi Austria 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Kemenangan yang cukup mendebarkan di hadapan 3,000 penyokong tempatan itu bukan sahaja membolehkan skuad Malaysian Tigers menempah slot final menentang Kanada esok, malah menggenggam tiket automatik ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.
Malaysia dan Kanada meraih dua slot yang ditawarkan ke kempen kelayakan Sukan Olimpik menerusi kejohanan ini.
Dalam perlawanan separuh akhir petang tadi, Kanada bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meleburkan rekod bersih Itali dengan kemenangan 3-1.
Selepas diaibkan Itali 4-2 dalam pusingan peringkat kumpulan B dan mengharungi pusingan play-off mengatasi Wales 2-1, Malaysia pula tampil malam ini dengan penuh bersemangat dan meyakinkan dalam suku pertama perlawanan.
Malaysia melancarkan gerakan kemas dan mula mengasak sebelum peluang terbaik hadir pada minit ke-11 apabila pukulan kencang Azrai Aizad Abu Kamal terkena tiang gol, disusuli percubaan oleh Fitri Saari.
Menerusi gerakan beberapa saat selepas itu, Malaysia dihadiahkan pukul sudut penalti dan Faizal Saari tidak melakukan kesilapan dengan jaringan pertama.
Ketika penyerang muda, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, diperintah duduk di 'sin bin’ (penggantungan sementara) selepas dikenakan kad hijau pada minit ke-31, Austria mengambil kesempatan itu untuk menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Leon Thornblom.
Kedudukan terikat itu berlarutan sehingga akhir suku ketiga bagaikan perlawanan akan diheret ke penentuan penalti, namun Muhammad Marhan Jalil menyelamatkan keadaan apabila berada di kedudukn tepat untuk menolak masuk percubaan pukulan sudut penalti Faizal pada minit ke-56.
Meor Muhammad Azuan Hassan mengesahkan kemenangan Malaysian Tigers apabila melakukan jaringan padang pada minit ke-58.
Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans, berkata selepas gol penyamaan Austria itu, saingan bertambah sengit dengan kepantasan permainan menjadi faktor penentu.
“Saya meminta pemain supaya meningkatkan kepantasan dalam suku ketiga dan keempat dan ini menyebabkan Austria tidak dapat menandingi kita.
“Oleh itu, rentak perlawanan membawa perbezaan. Austria cuba memperlahankan rentak dengan menguasai pergerakan bola tetapi kita meneruskan rentak pantas serta barisan pertahanan menampilkan aksi yang cemerlang untuk menyerap asakan penyerang lawan," katanya.
Sementara itu, jurulatih Kanada, Paul Bundy, berazam menebus kekecewaan tewas dua kali kepada Malaysia dalam Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Mac lalu.
"Kali ini, kami berharap untuk mengubah keputusan dalam pertemuan ketiga selepas aksi di Ipoh itu. Selepas sampai ke tahap ini, kami sudah pasti mahu memburu gelaran ini,” katanya.
Dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia menewaskan Kanada 3-2 dalam pusingan awal dan 4-2 dalam penentuan tempat ketiga.
Dalam final esok, Malaysia dan Kanada akan bertemu jam 8.05 malam manakala perlawanan penentuan tempat ketiga di antara Itali dan Austria akan berlangsung jam 5.50 petang.
-- BERNAMA