HOKI
Akhir Siri Hoki FIH: Kanada hidupkan peluang
Skuad hoki Kanada bangkit kembali daripada kekalahan dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 semalam dengan mengalahkan Austria 2-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, pasukan di ranking ke-10 dunia berkenaan meraih tiga mata untuk mengatasi kekecewaan tewas 1-3 kepada Wales.
Separuh masa pertama menyaksikan pemain Austria mengawal permainan dan memberikan cabaran hebat kepada Kanada, namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol.
Iklan
“Kami sedar permainan akan berlangsung seperti ini. Ada pasukan yang amat baik dalam kejohanan ini. Ranking ke-10 dunia tidak bermakna mereka tidak akan mengalahkan kami.
“Dalam 15 minit pertama, kami tidak jaringkan gol dan kami tidak panik apabila keadaan kekal 0-0. Kami tahu peluang akan tiba,” kata ketua jurulatihnya, Paul Bundy, dalam sidang media selepas perlawanan.
"Pemain saya menunjukkan permainan yang lebih baik hari ini. Austria merupakan sebuah pasukan yang mempunyai pertahanan yang amat baik dan mereka juga mempunyai pemain yang begitu bagus,” katanya.
Namun, keadaan permainan bertukar sepenuhnya dalam separuh masa kedua apabila pemain Kanada bemain dengan tekad baru.
Hanya seminit selepas separuh masa kedua bersambung, James Wallace menjaringkan gol padang untuk meletakkan Kanada di hadapan, kemudian diikuti gol Keegan Pereira pada minit ke-42, juga melalui gol padang.
Gol Austria pula dijaringkan Leon Thornblom pada minit ke-53.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A hari ini, Wales mengutip tiga lagi mata berharga apabila mengalahkan Belarus 2-1, untuk mendahului kumpulan dengan enam mata.
Belarus mendahului perlawanan apabila Uladzislau Belavusau menjaringkan gol padang pada minit keempat, namun sembilan minit kemudian, Wales menyamakan kedudukan apabila Gareth Furlong menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Enam minit sebelum masa tamat, Furlong menjaringkan gol kemenangan untuk Wales.
Kejohanan bersambung esok dengan perlawanan kedua Kumpulan B, termasuk perlawanan di antara Malaysia dan China.
-- BERNAMA
Must-Watch Video