Skip to main content

Advertisement

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Kanada bangkit benam Malaysia

59121046_1905832722855602_4140644121712787456_o.jpg
MALAYSIA 2 KANADA 3

Hajat Malaysia untuk muncul juara Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 tidak kesampaian selepas Kanada bangkit untuk meraih kemenangan 3-2 dalam final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.


Melangkah ke final membenarkan kedua-dua pasukan beraksi dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

Terdahulu, Kanada, yang mengakhiri peringkat kumpulan di tangga ketiga Kumpulan A, mengatasi Itali 3-1 untuk ke final manakala Malaysia menyingkirkan Austria 3-1 dalam separuh akhir semalam..

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Firhan Ashaari yang menyudahkan hantaran Meor Azuan Hassan pada minit kelapan.

Ketinggalan dengan satu jaringan tidak menggugat persembahan Kanada, dengan skuad bimbingan Paul Bundy itu mengorak langkah yang baik untuk bangkit menyamakan kedudukan.

Kanada bangkit menerusi dua pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Scott Tupper, dan Brenden Bissett sebelum James Kirkpatrick menjadikan kedudukan 3-1.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil mengurangkan defisit jaringan ketika perlawanan berbaki tujuh minit, namun skuad negara terpaksa akur terlepas kejuaraan ke tangan Kanada, pasukan di ranking ke-10 dunia.

"Terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan lagi dalam mutu permainan skuad negara," kata Oltmans sebagai menyimpulkan persembahan pasukannya sepanjang kejohanan ini. 

"Sasaran seterusnya adalah saingan kelayakan dan kami memiliki sekurang-kurangnya enam bulan untuk berusaha dengan sebaik mungkin dan mempamerkan aksi yang mantap untuk layak ke Tokyo 2020."

Sementara itu, Itali mengatasi Austria 2-1 dalam penentuan tempat ketiga/keempat. 

Advertisement

Must Watch Video