Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: China nafi kemenangan Malaysia

hoki-malaysia-2019.jpg
MALAYSIA 4 CHINA 4

Skuad negara bimbingan Roelant Oltmans berdepan laluan berliku untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019 selepas diikat China 4-4 dalam aksi kedua Kumpulan B, malam ini. 


The Malaysian Speedy Tigers memang patut menyalahkan diri sendiri untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat kumpulan apabila momentum aksi pembukaan ketika menundukkan Brazil 6-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin gagal diulangi. 

Skuad kendalian Otlmans itu mengharapkan satu lagi aksi mata penuh bersandarkan reputasi lima kemenangan ke atas lawan sejak 2012. 

Begitupun, tiga pendahuluan perlawanan dilepaskan skuad negara selepas membuka tirai jaringan seawal minit keempat melalui gerakan pukulan sudut penalti Fitri Saari. 

Malaysia kemudian menutup separuh masa pertama dengan 2-0 apabila Firhan Ashari menyempurnakan gerakan gol padang. 

China bangkit dalam suku ketiga dan akhirnya mengikat kedudukan 2-2 melalui dua pukulan sudut penalti melalui Lin Changliang dan Ao Weibao pada minit ke-43 dan 51. 

Biarpun kembali di hadapan dengan pukulan sudut penalti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil seminit selepas itu, namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila pakar sudut penalti China, Du Talake, menyempurnakan gerakan yang sama. 

Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi memberikan kelebihan gol kepada Malaysia tetapi sekali lagi China menghukum tuan rumah menerusi gol padang Dong Yang ketika permainan berbaki seminit. 

"Kami melakukan beberapa kesilapan dan itulah sebabnya China dapat menjaringkan empat gol. 

"Ada pukulan sudut penalti yang tidak seharusnya diberikan kepada mereka. Apapun, struktur pertahanan kami jelas sekali tidak begitu bagus, barisan pemain nampak tidak begitu bersemangat dan kurang menyerang. Malah, aspek kawalan bola juga tidak begitu baik.

"Kami melepaskan pukulan sudut penalti yang memberi ruang kepada China menjaringkan gol," ujar Oltmans kelahiran Belanda. 

Keputusan lain: 

ITALI 3 BRAZIL 0
 

Advertisement

Must Watch Video