SUKAN LAIN
Aifa atasi pilihan ketiga, tempah tiket separuh akhir
Langkah positif buat pemain negara, Aifa Azman, di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil selepas menewaskan wakil England, Elise Lazarus, untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019, hari ini.
Aifa -- selaku pemain pilihan ketiga -- meneruskan rentak kecemerlangannya di peringkat suku akhir apabila menundukkan Lazarus dengan straight set 12-10, 11-8, 11-5.
Dalam set pertama, pemain berusia 18 tahun itu sukar untuk menguasai perlawanan, namun tetap menemui sentuhan sebelum menewaskan Lazarus 12-10 dan dia meneruskan penguasaannya dalam set kedua dengan kemenangan 11-8.
Iklan
Dia tidak menunggu lama untuk menoktahkan kemenangan mudah dalam set ketiga dengan keputusan 11-5, sekali gus menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Jana Shiha dari Mesir, dalam aksi separuh akhir esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, Aifa pernah menewaskan Jana sebanyak dua kali ketika saingan Terbuka Remaja British pada tahun 2014 dan 2018.
"Sebenarnya, saya pernah berdepan Jana dalam Terbuka British. Ketika itu, saya bangkit untuk menang selepas ketinggalan. Jadi, diharapkan esok saya mampu cipta kemenangan," kata Aifa.
Sementara itu, pemain remaja negara, Chan Yiwen, terpaksa akur apabila penampilan terakhirnya dalam Kejohanan Remaja Dunia terhenti di pusingan suku akhir selepas tewas kepada wakil Mesir, Farida Mohamed, dengan keputusan 11-3, 11-7, 11-5, 11-9.
Pemain berusia 18 tahun itu bermula baik dalam set pertama dengan menewaskan lawannya 11-3 sebelum Farida mendapat rentak untuk bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 11-7.
Farida yang turun selaku pemain pilihan ketiga kejohanan meneruskan penguasaan dalam set ketiga sebelum menewaskan Yiwen 11-5 dan menoktahkan kemenangan dalam set keempat dengan keputusan 11-9.
"Saya dapat mata mudah dalam set pertama tetapi lawan tampil agresif dalam set kedua. Bola saya jadi separuh gelanggang sehingga menyukarkan rentak," ujar Yiwen.
Must-Watch Video