Skip to main content

Sukan Lain

Adrian ungguli Boling Terbuka Antarabangsa Sarawak

andrian.jpg
Atlet kebangsaan, Adrian Ang Hsien Loong, membawa pulang wang tunai RM18,000 setelah mengungguli Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2017 di arena Megalanes di Batu Kawa, Kuching, semalam.

Dia memenangi acara step-ladder dengan mencipta 224 jatuhan pin, menewaskan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Zainuddin, yang mencatatkan 222 jatuhan pin.

Hafiz pada aksi separuh akhir sebelum itu menunjukkan aksi mengagumkan dengan mencatatkan 205 jatuhan pin untuk mengecewakan Chong Jun Foo dan Tun Hakim.

Di peringkat suku akhir, atlet berusia 17 tahun itu mengecewakan rakan sepelatih yang juga pemenang emas Sukan Sea, Rafiq Ismail, dan pemenang tunggal balingan sempurna, Ahmad Aidil.

Adrian, 29, yang berasal dari Pulau Pinang mendedikasikan kemenangan ini kepada anak perempuannya yang baharu lahir pada 24 Julai lalu.

"Ia satu perlawanan yang mencabar, namun amat baik untuk saya mempersiapkan diri bagi Kejohanan Dunia di Las Vegas pada penghujung November," katanya.

Menurutnya, kemenangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangka, sebaliknya dia hanya fokus untuk menghasilkan balingan yang baik untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Dalam setiap permainan, saya tidak pernah fikirkan kemenangan, sebaliknya motivasi saya ialah permainan yang terbaik frame demi frame," kata pemenang dua pingat perak Sukan SEA 2017 itu.

Ini merupakan kali pertama Sarawak menganjurkan kejohanan ini selepas kali terakhir menganjurkannya 18 tahun lalu.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Advertisement

Must Watch Video