Skip to main content

Permotoran

Adam perlu tingkatkan usaha rebut tempat Moto3

adam-norrodin.jpg
Bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, menggalas tugas getir untuk meyakinkan pihak pengurusan Sepang Racing Team (SRT) menyuntingnya semula ke saingan Moto3 musim depan setelah bergelut dalam Kejohanan Motosikal Eropah (CEV).

Adam hanya mempunyai empat lagi pusingan bagi kelas Moto2 CEV yang menyaksikannya kini di kedudukan ke-11 keseluruhan.

Masa semakin suntuk baginya membuktikan keupayaan kepada pihak pengurusan SRT untuk menyenaraikannya semula sempena saingan MotoGP musim depan, apatah lagi pencapaiannya dalam saingan CEV musim ini kurang memberangsangkan.

Selepas tujuh perlumbaan, dia hanya mampu meraih 35 mata dan masih buntu untuk merakam kedudukan podium.

"Kancah CEV sangat sukar tahun ini, saya bergelut apabila berdepan beberapa isu yang perlu diatasi.

"Keputusan beberapa perlumbaan terakhir juga agak mengecewakan saya," katanya. 

Bagi musim 2019, SRT mempertaruhkan dua pelumba luar negara, John Mcphee serta Ayumu Sasaki, dan sehingga kini masih tiada pengesahan rasmi sama ada SRT ingin menukar barisan pelumba sedia ada untuk menghadapi musim 2020.

Adam pernah beraksi dalam kancah Moto3 selama tiga musim dengan percubaan terbaiknya adalah menduduki tangga ke-17 dengan mengutip 42 mata dalam edisi 2017.

"Semuanya bergantung kepada diri sendiri. 

"Kalau saya boleh tebus semula prestasi dalam baki beberapa perlumbaan CEV, maka Insya-Allah saya boleh meyakinkan SRT.

"Saya harap dapat baiki perlumbaan dengan mengatasi beberapa masalah kritikal," tambahnya. 

 

Advertisement

Must Watch Video