SUKAN LAIN
ACC: Fariz tidak gentar di sebalik usia
Pelumba muda trio pecut berbasikal trek berpasukan negara, Mohamad Fariz Haikal Mohamad Kadir, menganggap peluang beraksi dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Seoul, Korea Selatan dari 17 hingga 21 Oktober ini sebagai batu loncatan dalam kariernya.
Minggu lalu, Fariz menerima perkhabaran untuk menggantikan tonggak utama berbasikal trek berpasukan negara, Azizulhasni Awang, yang mengambil keputusan menarik diri ekoran kecederaan jarinya yang retak.
Ia secara tidak langsung membuka peluang bagi pelumba kelahiran Kedah berkenaan untuk bergandingan bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis buat kali pertama.
Iklan
"Saya menjalani latihan seperti biasa, jadi saya tidak perlu harungi latihan serius dan mampu menyesuaikan diri," kata pelumba berusia 18 tahun itu di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini.
Meskipun mengakui bergelut dengan masa persediaan yang singkat, Fariz tetap optimis bahawa pengalamannya dalam Kejohanan Remaja Dunia di Jerman, Ogos lalu, memberikannya keyakinan untuk memburu pingat di Korea Selatan pula.
"Fizikal pencabar di Jerman yang lalu semuanya besar tetapi kami tetap positif.
"Jadi, kami yakin dengan kemampuan diri untuk melakukan yang terbaik buat Malaysia.
"Kami perlu sentiasa anggap diri di atas dan bukannya di bawah," tambahnya.
Must-Watch Video