Presiden Persatuan Memanah Kedah, Datuk Abd Hamid Hassan, menarik diri daripada bertanding jawatan presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bagi memberi laluan kepada calon berprofil tinggi mencabar penyandang, Mohamad Yazid Yahya, dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) , Sabtu ini.
NAAM belum mendedahkan senarai calon bertanding dalam AGM badan induk itu.
Namun, difahamkan ada yang mahu mencabar jawatan presiden yang disandang Yazid sejak 2015.
Kedah mencalonkan individu berprofil tinggi, sekaligus menyaksikan Hamid menarik diri.
"Persatuan Memanah Negeri Kedah telah mencalonkan Datuk Seri Johari Baharom selaku Timbalan Menteri Pertahanan untuk jawatan presiden bagi sesi 2017/2020.
"Sebenarnya ini adalah pilihan tepat atas pengalamannya memimpin persatuan. Kami memohon agar beliau dapat membawa Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia ke tahap yang lebih baik," jelas Hamid.
NAAM adalah antara persatuan sukan kebangsaan yang dilanda masalah dalaman.
Januari lalu, seramai 12 ahli gabungan mengadakan pertemuan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membantah kepimpinan Yazid.
Jika masalah ini gagal diselesaikan dalam AGM, Sabtu ini, dikhuatiri ia akan menjejaskan persiapan pemanah negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Astro Arena
Thu May 11 2017