Skip to main content

Sukan Lain

750,000 peserta di Sabah meriahkan Hari Sukan Negara

khairy52186b093d81604aa734ff0000212b38.jpg

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, gembira apabila unjuran menunjukkan kira-kira 750,000 peserta di Sabah dijangka memeriahkan Hari Sukan Negara (HSN) pada 8 Oktober depan.

Katanya, angka itu melebihi sasaran 20 peratus daripada populasi penduduk di negeri berkenaan dan berharap budaya amalan hidup sihat dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

"Saya juga cukup teruja apabila Sabah juga tidak hanya menumpukan sambutan Hari Sukan Negara di bandar, malah memperluaskannya ke kawasan luar bandar serta pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan HSN Peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar (JKDB) Sabah di Dewan Masyarakat Menggatal, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Khairy berkata, HSN yang berlangsung pada Sabtu kedua dalam bulan Oktober pada setiap tahun sepatutnya perlu meriah bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kampung dan luar bandar.

"Jika sebelum ini, penganjuran secara besar-besaran berlangsung di bandar utama, tetapi pada tahun ini kita mahu penganjuran di kampung atau luar bandar juga meriah.

"Hari Sukan Negara adalah untuk semua lapisan masyarakat dan kita juga gembira kerana hampir tujuh juta penyertaan telah direkodkan bagi menyertai pelbagai aktiviti sempena hari berkenaan," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan peruntukan RM2.7 juta untuk dibahagikan kepada 2,985 JKKK dan JKDB di seluruh negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Tawfiq mengumumkan semua kemudahan kompleks sukan milik kerajaan negeri dibuka secara percuma kepada orang ramai pada hari berkenaan, bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Advertisement

Must Watch Video