Skip to main content

Sukan Lain

12 ahli gabungan lancar undi tidak percaya terhadap MAKAF

presiden-persatuan-karate-do-putrajaya,-p-thiagu.jpg
Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF) dilanda gelora apabila 12 ahli gabungan melancarkan undi tidak percaya terhadap badan induk itu dengan cadangan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Ipoh, Perak, 9 Julai depan.

12 ahli gabungan MAKAF berkenaan melancarkan undi tidak percaya atas beberapa faktor.

Antara dakwaan mereka, MAKAF membenarkan ahli bukan gabungan untuk menyertai Kejohanan Kebangsaan di Serdang, Selangor, Februari lalu sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak.

Begitu juga dengan program latihan dan kejohanan yang tidak meyakinkan dalam membantu atlet negara layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sehubungan itu, tindakan drastik perlu diambil sebelum terlambat.

"Selepas tiga bulan perbincangan MAKAF dengan 11 ahli gabungan yang lain, kami masih menunggu jawapan daripada MAKAF.

"Sebagai ahli gabungan, kami mengikut perlembagaan dengan mengadakan persidangan dan kami mengambil keputusan melancarkan undi tidak percaya terhadap MAKAF," jelas Presiden Persatuan Karate-Do Putrajaya, P. Thiagu. 

MAKAF diterajui presiden, Tan Sri Mohd Ali Rustam, yang menewaskan pencabar, Datuk Clement Soo, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), tahun lalu.

Ali memegang jawatan itu sejak 2010 tidak pernah berdepan gelora undi tidak percaya.

"Kemelut ini kalau tidak boleh diselesaikan dalam masa yang pendek, sudah pasti ia akan menjejaskan persiapan atlet untuk menyertai kejohanan antarabangsa.

"Sebab itulah kami mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin. 

"Kami telah memaklumkan segala tindakan kami kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan pihak menteri," kata Thiagu lagi. 

Sementara itu, Timbalan Presiden MAKAF, Vincent Chen, memberi amaran kepada 12 ahli gabungan yang mencetuskan isu berkenaan akan berdepan tindakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Melaka, 24 Mei ini.

Beliau mendakwa kumpulan yang tewas dalam AGM tahun lalu sepatutnya bertindak profesional.

"12 ahli gabungan ini terdiri daripada mereka yang kalah dalam sesi pemilihan yang lalu dan tidak gembira dengan keputusannya. 

"Mereka hanya ingin mencetuskan masalah. Sudah tentu perkara ini akan diselesaikan dalam masa terdekat kerana ia membawa tujuan yang tidak baik (mencalarkan reputasi MAKAF)," kata Vincent. 
 

Advertisement

Must Watch Video