Skip to main content

Badminton

Zii Jia lega keluhan didengar

zii-jia.jpg
Pemain perseorangan lelaki badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia, menerima suntikan semangat dengan perubahan positif yang dibawa jurulatihnya, Hendrawan, bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Jaguh kelahiran Kedah itu tidak berselindung bahawa dia terbeban dengan jadual padat sepanjang musim lalu.

Keluhan itu menerima maklum balas positif daripada Hendrawan dan difahamkan Zii Jia hanya akan menyertai beberapa kejohanan tertentu seperti Terbuka Malaysia pada April depan, Piala Thomas (Mei) dan Terbuka Indonesia (Jun).

"Sebelum ini, saya memang ada berbincang dengan jurulatih untuk mengurangkan kejohanan.

"Tahun lalu memang terlalu banyak kejohanan hingga kami tiada masa untuk melakukan perubahan.

"Sukan Olimpik sudah semakin hampir, jadi ia memang perancangan kami untuk mengurangkan kejohanan dan fokus kepada kelemahan yang boleh diperbaiki," katanya.

Dalam pada itu, Zii Jia menyambut baik keputusan barisan kejurulatihan skuad negara untuk menyerap tenaga beberapa pemain profesional seperti Liew Daren dan Soong Joo Ven bagi memantapkan sesi latihan mereka.

"Dahulu memang saya berlatih dengan mereka dan Liew Daren kerap menjadi rakan sepelatih saya menjelang kejohanan.

"Saya mahu berterima kasih kepada mereka jika datang ke sini.

"Ia bukan sekadar menjadi rakan sepelatih, kami mungkin boleh mengadakan perlawanan satu lawan satu.

"Ia juga baik untuk mereka kerana mendapat rakan sepelatih di standard tertinggi dalam skuad kebangsaan," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found