Skip to main content

Badminton

V Shem-Wee Kiong perlu ketepikan status finalis Olimpik Rio -- Jeremy

020517jeremygan.jpg
Goh V Shem dan Tan Wee Kiong perlu mengetepikan reputasi sebagai finalis Sukan Olimpik Rio dan bekas beregu nombor satu dunia jika enggan terus terperosok dalam kemelut prestasi.

Amaran ini turut disuarakan oleh jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan.

"Saya memang kurang berpuas hati dengan persembahan mereka. Saya berharap mereka lebih peka dengan kualiti mereka.

"V Shem-Wee Kiong perlu memberikan fokus dalam sesi latihan dan cuba menghasilkan keputusan yang positif," kata Jeremy.

Siapa sangka selepas menamatkan musim 2016 yang penuh gemilang, termasuk memenangi gelaran juara Siri Super Final di Dubai, gandingan ini mengalami krisis prestasi.

Mereka bukan saja gagal mara ke pusingan separuh akhir dalam semua kejohanan disertai tahun ini, malah sekadar menamatkan saingan dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia, Wuhan, China.

Meletakkan Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland sebagai misi utama mereka, perubahan secara menyeluruh harus dilakukan oleh kedua-dua pemain bagi mengelak terus berputih mata.

"Saya berasakan mereka menyedari bahawa prestasi mereka di bawah tahap yang diingini. Mereka menerima setiap perkara yang telah dibincangkan, mereka perlu mengetepikan status sebagai pemenang pingat perak Sukan Olimpik kerana ia sudah berlalu."

Advertisement

Must Watch Video