Skip to main content

Badminton

Tiket ke Tokyo masih terbuka -- Iskandar

iskandar-zulkarnain.jpg
Pemain badminton perseorangan profesional, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, berpandangan tiket kedua untuk mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih terbuka buat beberapa pemain.

Ketika ini, hanya Lee Zii Jia berupaya layak secara merit ke temasya itu berdasarkan ranking kelayakan semasa.

Setiap negara boleh menghantar dua wakil ke Tokyo sekiranya menamatkan kempen kelayakan pada April depan di ranking 16 terbaik.

Kemas kini ranking kelayakan ke Tokyo 2020 menyaksikan Soong Joo Ven merupakan pemain kedua terbaik Malaysia di tangga ke-26, sementara Iskandar, yang terpaksa mengharungi kejohanan peringkat bawahan, di kedudukan ke-62.

"Ia mengingatkan saya seperti dulu ketika saya baru nak naik.

"Ketika itu (Morten) Frost menghantar saya ke Eropah untuk memburu mata kelayakan di sana.

"Dalam keadaan sekarang, saya cuma perlu menjaga mental.

"Masa muda memang kita kuat lagi tetapi bila dah tua ni, kita kena pandai taktikal," katanya.

Kedudukan ranking dunia juga menyaksikan Iskandar kembali ke dalam kelompok 100 pemain terbaik selepas mengalami kemerosotan prestasi sebaik keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung tahun lalu.

Dalam dua kejohanan terakhir yang disertainya bulan lalu, dia terkandas dalam pusingan kedua Terbuka Azerbaijan sebelum ke separuh akhir Terbuka Sepanyol.

Selepas ini, dia akan menyertai Terbuka Russia bermula 16 Julai ini.

"Untuk layak ke Sukan Olimpik, saya perlu berusaha lebih lagi.

"Saya perlu memungut lebih mata untuk berada di ranking ke-32.

"Minggu depan, saya akan ke Russia, jadi saya berharap akan dapat keputusan yang baik," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video