Legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, memberikan ucapan penghormatan buat bekas jurulatihnya, Hendrawan, yang berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas 14 tahun bersama.

Chong Wei yang turut pernah dibimbing jurulatih berusia 52 tahun itu berasakan dia bukan sahaja seorang jurulatih tetapi lebih kepada seorang 'abang' yang sentiasa berada ketika dirinya dalam jatuh dan bangun kariernya.

Untuk rekod, pelatih kelahiran Indonesia itu mula bersama badan induk kebangsaan sejak 2009.






"Bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal, terutamanya apabila ia datang daripada seseorang yang pernah berada di sisi anda ketika susah dan senang, baik ketika di dalam mahupun luar gelanggang.

"Jurulatih Hendrawan, anda telah menjadi lebih daripada seorang mentor, anda merupakan figura seorang abang dalam badminton. Kesabaran, kebijaksanaan dan semangat anda pada permainan ini tiada tandingannya.

"Ya, sudah tentu anda telah menyumbang kepada kejayaan saya. Kami telah mengalami detik-detik keseronokan, peluh dan air mata.

"Walaupun anda meneruskan cabaran di tempat lain, pengaruh anda terhadap kerjaya saya dan kancah badminton Malaysia akan kekal selamanya. Terima kasih atas segalanya, jurulatih.

"Saya doakan yang terbaik untuk perjalanan anda pada masa akan datang. Anda pernah menjadi jurulatih dan sentiasa akan menjadi jurulatih! Tidak kira dimana anda berada. Terima kasih jurulatih Hendrawan!

"Ini adalah penghormatan ikhlas saya kepada anda atas sumbangan kepada saya, keluarga dan badminton Malaysia dan seluruh arena badminton." katanya.