Skip to main content

Badminton

Terbuka Thailand: Soniia, Zii Jia ke suku akhir

soniia.jpg
Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, melakar kejutan untuk mara ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan pilihan kelima dari China, He Bing Jiao, dalam pusingan kedua di Bangkok, hari ini.

Soniia, yang kini menghuni ranking ke-32 dunia, mengambil masa 32 minit untuk menyingkirkan pemain nombor enam dunia itu dengan kemenangan 21-15, 21-12.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu akan berdepan tugas getir untuk ke separuh akhir apabila bertembung dengan pemain pilihan utama dari China, Chen Yu Fei, esok.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, turut mengesahkan tempat ke suku akhir apabila mengalahkan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto, 21-14, 12-21, 21-8.

Dia akan berdepan dengan wakil Indonesia dari pusingan kelayakan, Shesar Hiren Rhustavito, yang melakarkan kejutan terbesar dengan mengetepikan juara dunia lima kali, Lin Dan, 12-21, 21-15, 21-10 dalam pusingan kedua.

Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, turut melangkah ke suku akhir selepas bertarung selama 63 minit sebelum menewaskan beregu nombor enam dunia dari China, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong, 19-21, 21-16, 21-18.

Gandingan tersebut akan sekali lagi berdepan dengan wakil China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, yang menyingkirkan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 21-17, 11-21, 21-11 dalam pusingan kedua.

Dalam pada itu, dua lagi beregu lelaki negara terkeluar dalam pusingan kedua apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 21-8, 21-17 kepada beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol.

Satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, turut mengalami nasib sama apabila disingkirkan oleh gandingan baru China, Huang Kai Xiang-Liu Cheng, 22-20, 21-17.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video