Skip to main content

Badminton

Terbuka Thailand: Liew Darren gusar kes mendadak tuan rumah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

liew-darren.jpg
Perseorangan lelaki profesional, Liew Darren, dalam dilema  apabila terperangkap di antara peningkatan kes COVID-19 dan kos dua kali ganda yang terpaksa ditanggung pemain seandainya dipanggil untuk mengisi kekosongan dalam Terbuka Thailand, bulan depan.

Darren kini berada di kedudukan keempat senarai simpanan. Justeru, peluangnya dilihat cerah untuk menyertai kejohanan antarabangsa itu selepas sembilan bulan berikutan dua pemain India, Kashyap Parupalli dan H.S Prannoy, disahkan positif pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan pada Isnin depan bagi mengetahui statusnya dalam kejohanan tersebut. 

"Mula-mula memang rasa mahu menyertai kejohanan di sana tetapi nampaknya tidak dapat mengikutinya pun tidak mengapa sebab keadaan di Thailand nampak serius. 

"Banyak kes berlaku di kawasan sekitar kejohanan, ia perlu dipertimbangkan,"  katanya kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri. 

Darren juga perlu menimbang pelbagai perkara, khususnya tuan rumah yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 mendadak selain perlu mengeluarkan belanja tinggi untuk kos penginapan bagi kuarantin setibanya di Bangkok.

"Saya sudah menempah tiket penerbangan. 

"Saya perlu kuarantin di sana selama 14 hari kemudian apabila pulang, sekali lagi menjalani kuarantin selama 10 hari. 

"Jadi ia satu proses yang memakan masa hampir sebulan," katanya. 

Sementara itu, Darren bersama rakan rakan perseorangan lelaki profesional yang lain menyertai Kejohanan Ranking Dalaman Kelab Badminton Sport Affairs di ibu negara hari ini.

Darren, bagaimanapun, tewas kepada Lim Yik Foong 19-21, 19-21.

Soong Joo Ven pula dipaksa berhempas pula dengan pemain Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Faiz Rozain, sebelum lakar kemenangan 18-21, 21-7, 21-15.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin pula tidak menghadapi masalah untuk menundukkan V. Eveshgaran 21-18, 21-18 sementara Lim Chi Wing yang berentap dengan pemain para, Cheah Liek Hou, mencatat kemenangan 21-16, 21-10.

"Sebab sudah terlalu lama mereka asyik berlatih sahaja. 

"Jadi pertandingan ini sekurang-kurangnya mewujudkan tekanan buat mereka," kata ketua jurulatih, Rashid Sidek. 
 

Advertisement

Must Watch Video