BADMINTON
Terbuka Taiwan: Zii Jia gigih tingkat prestasi pertahan kejuaraan
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, giat berlatih untuk mempertahankan gelaran juara Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan yang bermula Selasa depan.
Selepas menepati ramalan mencapai suku akhir Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, pemain berusia 21 tahun itu tidak berhenti berlatih dalam memastikan mampu mempertahankan gelaran juaranya di Arena Taipei.
Zii Jia bakal membuka kempen dengan bertemu pemain daripada pusingan kelayakan sebelum menentang pilihan utama yang juga taruhan tuan rumah, Chou Tien Chen, di peringkat separuh akhir.
Iklan
"Setiap kali cuti umum, kami tetap berlatih dan hari ini, kami berlatih separuh hari yang merupakan persiapan terakhir sebelum ke Taiwan.
"Setakat ini, kami tidak ditimpa sebarang kecederaan dan kami perlu meraih pencapaian yang bagus (di sana)," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Walaupun optimis dalam mempertahankan kejuaraan, dia tidak mahu mengambil mudah dan akan menumpu satu demi satu perlawanan terlebih dahulu.
"Saya dalam prestasi yang baik dan tekal. Jadi saya berharap ia akan berterusan.
"Sama ada saya mampu mempertahankan kejuaraan, saya enggan memikirkannya sebaliknya saya mahu fokus kepada satu persatu perlawanan," tambahnya.
Dalam edisi 2018, Zii Jia menamatkan kemarau 14 tahun negara apabila mengalahkan wakil Jepun, Riichi Takeshita, 21-17, 16-21, 21-11 di pentas final.
Must-Watch Video