Ng Tze Yong mengambil masa 33 minit untuk meneruskan cabaran dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, sebentar tadi.
Pemain perseorangan negara itu menewaskan satu lagi lawan dari Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, selepas menyingkirkan Ng Ka Long semalam.
Biarpun pencabarnya di ranking ke-15 dunia itu memberi sempat memberi tentangan sengit pada awal permainan, tetapi Tze Yong tetap tenang untuk mengimbangi pertarungan sebelum mengorak langkah di pertengahan setiap set untuk kemenangan pertemuan pertama mereka 21-15, 21-13.
Turut menyertai Tze Yong -- yang akan bertemu Anthony Sinisuka Ginting -- di peringkat suku akhir esok ialah tiga beregu campuran selepas Chen Tang Jie-Valeree Siow menewaskan Reginald Lee-Ng Tsz Yau (Hong Kong) 21-13, 21-7 untuk menguji pilihan utama, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dari Thailand .
Sementara itu, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei mengalahkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 21-11, 21-19.
Usaha Chan Peng Soon-Cheah Yee See selepas itu belum cukup untuk menafikan kemaraan pilihan ketiga kejohanan dari China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, apabila pertemuan mereka berkesudahan 19-21, 14-21.
Goh Soon Huat-Shevon Lai, bagaimanapun, dituntut bermandi keringat sebelum mengetepikan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 10-21, 21-18, 21-10.
Namun, perjuangan beregu lelaki negara berakhir apabila lima taruhan gugur satu persatu yang menyaksikan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia terlebih dahulu menundukkan Goh V Shem-Low Juan Shen 21-11, 21-18.
Rentak kekalahan itu berterusan apabila wakil China, Lu Ching Yao-Yang Po Han, menewaskan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-18, 21-19 sebelum Arif Junaidi-Muhd Haikal ditunjukkan jalan keluar oleh beregu lelaki tuan rumah, Terry Hee-Loh Kean Hean, 21-18, 21-17.
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pula dikejutkan 21-18, 22-24, 18-21 oleh M.R Arjun-Dhruv Kapila dari India dalam pertarungan yang berlanjutan lebih sejam sementara Man Wei Chong-Tee Kai Wun belum mampu menggugat reputasi Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) apabila kecundang 14-21 15-21.
Shaiful Shamsudin
Thu Jul 14 2022