Skip to main content

Badminton

Terbuka New Zealand: Dua beregu campuran lepasi halangan pertama

tan-kian-meng-lai-pei-jing.jpg
Dua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, beraksi cemerlang untuk ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand di Stadium Eventfinda, Auckland, hari ini.

Kian Meng-Pei Jing menewaskan pilihan keenam kejohanan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, 21-18, 21-14 dalam aksi pusingan pertama.

Pasangan yang tewas awal dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, minggu lalu itu akan bertemu satu lagi gandingan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika, Khamis ini. 

"Kami mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya sebelum bertemu pasangan Indonesia itu kerana kami pernah kalah kepada mereka dalam Terbuka Jerman tahun ini. 

"Ia tidak pernah mudah tetapi kami mempamerkan aksi yang lebih baik," kata Pei Jing. 

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Soon Huat-Shevon, yang menarik diri dalam pusingan kedua BAC ekoran masalah kesihatan yang dialami Soon Huat, bangkit dengan kemenangan selesa ke atas pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han.
 
Pilihan ketiga kejohanan itu akan bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching, selepas menidakkan kemaraan Danny-Tan 21-11, 21-17. 

Satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang juga beregu pilihan kedua kejohanan, akan memulakan aksi pertama menentang pasangan Indonesia, Henriko Kho Wibowo-Yulia Yosephin Susanto, esok. 

Turut beraksi dalam pusingan pertama esok ialah perseorangan lelaki, Chong Wei Feng, yang akan bertemu Ihsan Mualana Mustofa dari Indonesia, manakala Soong Joo Ven menentang Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Lee Zii Jia pula akan berdepan pemain pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Kenta Nishhimoto, manakala perseorangan wanita pula akan diwakili Soniia Cheah, yang akan berlawan dengan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat.

Acara beregu wanita pula akan menyaksikan pertarungan di antara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan gandingan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, manakala Vivian Hoo-Yap Cheng Wen akan bertemu beregu Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto. 

Beregu lelaki pula akan diwakili pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi  dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video