Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Taktik Kian Meng-Pei Jing tidak menjadi

tan-kian-meng-lai-pei-jing.jpg
Buat pertama kali sejak 2015, tiada finalis tempatan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 selepas wakil terakhir negara, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, kecundang dalam aksi separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kian Meng-Pei Jing mencetuskan sensasi sejak hari pertama kejohanan yang menyaksikan mereka menyingkirkan bekas juara Seluruh England, YutaWatanabe-Arisa Higashino.

Atas dasar itu, terbit harapan untuk mereka mencipta keajaiban di sebalik rekod buruk lima kekalahan berturut-turut menentang lawan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Bagaimanapun, aksi luar biasa yang ditagih pemegang taruh badminton Malaysia tidak kunjung tiba ketika menentang Yilyu-Dongping. 

Kekalahan 13-21 dalam set pertama mengundang rasa kurang senang buat mereka yang sudah menjangkakan keputusan ini.

Seteru Kian Meng-Pei Jing itu membuktikan mengapa mereka diangkat selaku pilihan kedua kejohanan apabila menoktahkan kemenangan dalam set kedua 21-17.

"Saya tidak berasa tertekan meskipun sedar merupakan taruhan terakhir Malaysia. 

"Perancangan kami tadi kurang menjadi, pihak lawan banyak berikan tekanan kepada kami," kata Kian Meng. 

Tambah Pei Jing: "Kami sememangnya bersemangat untuk bermain. 

"Walaupun kalah, kami dapat tengok perbezaan mutu permainan beregu ketiga dunia.

"Kami perlu berusaha lebih gigih untuk menyamai persembahan mereka."

Jadual perlawanan akhir esok:

Perseorangan lelaki 
Chen Long (China) lwn Lin Dan (China)

Perseorangan wanita 
Tai Tzu Ying (Taiwan) lwn Akane Yamaguchi (Jepun)

Beregu lelaki 
Li Junhui-Liu Yuchen (China) lwn Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (Jepun)

Beregu wanita 
Chen Qingchen-Jia Yifan (China) lwn Dua Yue-Li Yinhui (China)

Beregu campuran 
Zheng Siwei-Huang  Yaqiong (China) lwn Wang Yilyu-Huang Dongping (China)


        




 

Advertisement

Must Watch Video