Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Roslin gusar perkembangan perseorangan lelaki

roslin-hashim.jpg
Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 tidak seharusnya dilupakan atas kegagalan wakil negara mencipta impak di laman sendiri tetapi ia adalah pengajaran untuk Malaysia segera mencari kembali kemampuan sebenar.

Bekas pemain nombor satu dunia dan pengulas badminton negara, Roslin Hashim, antara yang mengikuti perkembangan Terbuka Malaysia 2019 sejak hari pertama lagi sehinggalah penyingkiran taruhan terakhir negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, semalam. 

Roslin melabel kempen kali ini sebagai gagal memandangkan hanya satu wakil negara melayakkan diri ke separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil. 

"Apa yang amat mengecewakan saya adalah bahagian perseorangan lelaki. Ketiga-tiga wakil kita terkandas seawal pusingan pertama, itu agak merunsingkan saya," katanya. 

Lantas, Roslin menuntut Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar melakukan sesuatu dengan segera berikutan Malaysia juga akan menghadapi Piala Sudirman pertengahan bulan depan. 

Pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia, membuat langkah kanan awal musim ini apabila empat kali layak ke suku akhir tetapi dalam dua kejohanan, termasuk Terbuka Malaysia, dia disingkirkan dalam pusingan pertama. 

"Kita perlu ambil serius hal ini kerana pada awal musim, boleh dikatakan dia telah beraksi dengan agak konsisten. 

"Dia sepatutnya sudah mula menunjukkan kematangan dalam kejohanan lebih tinggi. 

"Walaupun pentas Terbuka Malaysia agak besar, sekurang-kurangnya dia perlu mara ke pusingan ketiga. 

"Dia perlu tingkatkan sendiri kemampuannya sambil dibantu jurulatih," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video