Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Peng Soon-Liu Ying kandas

chan-peng-soon-goh-liu-ying.jpg
Tamparan hebat buat beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, apabila terkandas dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 di sebalik pertembungan luar biasa menentang wakil China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

Sepanjang tempoh satu jam dan 23 minit permainan, Peng Soon-Liu Ying, berupaya membuatkan peminat badminton tanah air di Arena Axiata, Bukit Jalil, tidak senang duduk hari ini.

Apa yang mereka gagal lakukan adalah memastikan mata-mata penting untuk menoktahkan
kemenangan.

Dalam pertarungan set pertama, misalnya, mereka mendahului 19-17 tetapi hanya untuk membiarkan lawan merampas kemenangan 21-19.

Dalam set kedua pula, Peng Soon-Liu Ying berhasil mengelak daripada berputih mata apabila kembali menyamakan kedudukan hasil catatan kemenangan 21-16.

Dalam set penentuan, apa yang terjadi akan menjadi bualan untuk waktu yang panjang selepas mereka mensia-siakan peluang demi peluang untuk ke separuh akhir.

Aksi turun naik menyaksikan mereka terikat di kedudukan 20-20 sebelum lawan menempah laluan ke separuh akhir dengan kemenangan 27-25.

"Ada beberapa pukulan yang sepatutnya 'bunuh' tetapi kami sendiri melakukan kesilapan. 

"Semua taktikal kami sudah betul tetapi kesilapan sendiri yang yang menjadi punca kekalahan," kata Liu Ying. 

Rakan gandingannya, Peng Soon, menyimpulkan aksi mereka dengan berkata: "Kami berpuas hati dengan aksi tadi, boleh jadi kami akan dapatkan semula keyakinan kami dalam kejohanan selepas ini."

Advertisement

Must Watch Video