Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Pemain Malaysia perlu tangkas buat keputusan -- Choong Hann

wong-choong-hann.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menelan hakikat pahit apabila terpaksa akur bahawa prestasi wakil negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 yang berstatus perdana di bawah jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai tidak memuaskan.

Seramai 16 wakil membawa cabaran Malaysia dalam kesemua lima kategori secara keseluruhannya dengan beregu lelaki merupakan kontinjen paling besar, iaitu menerusi lima gandingan.

Tetapi siri penyingkiran awal menyaksikan hanya satu wakil yang layak ke separuh akhir, iaitu beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pencapaian edisi 2019 itu sedikit lebih baik berbanding edisi 2015 yang menyaksikan wakil Malaysia gagal melepasi halangan suku akhir.

"Saya berpendapat bahawa keputusan dalam Terbuka Malaysia dinilai sebagai tidak memuaskan. 

"Kami dalam proses untuk menampilkan pemain muda. 

"Kita harus berikan mereka peluang kerana prestasi mereka masih turun naik dan supaya mereka dapat sampai ke satu peringkat prestasi yang lebih stabil," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, dalam masa sama berpandangan ada jurang kualiti di antara pemain negara dengan pemain terbaik dunia.

Antaranya kemampuan untuk membuat perubahan dalam gelanggang yang selalunya menyaksikan pemain melakukan kesilapan sendiri.

"Keputusan membuat pukulan sangat mustahak. 

"Pemain handalan cepat membuat keputusan ketika melakukan pukulan. 

"Cara pukulan tetap sama cuma kalau pemain negara mengambil masa lebih lama dan dalam masa sama, sekiranya pemain lawan meningkatkan kepantasan permainan, ketika itulah pemain negara berikan ruang kepada lawan," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video