Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Kian Meng-Pei Jing lakar kejutan

pic-1.jpg
Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, membuka tirai pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 dengan penuh sensasi di Arena Axiata, sebentar tadi.

Kian Meng-Pei Jing, pasangan  di ranking ke-37 dunia yang turun menghadapi lawan sukar dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, mempamerkan aksi mantap untuk menyingkirkan gandingan ranking ketiga dunia yang juga naib juara Seluruh England 2019 itu 21-16, 21-15.

Mengulas mengenai persembahan bertenaga yang dipamerkan mereka, Pei Jing berkata, “Ini adalah kemenangan pertama kami untuk tahun 2019. Saya rasa dalam perlawanan tadi, kami telah melakukan yang terbaik sehingga berjaya mendapatkan kemenangan.”

“Kami pernah bertemu dua tahun lalu dan berjaya memenangi perlawanan. Selepas itu, mereka berjaya muncul juara Seluruh England tahun lalu.

"Dalam pertemuan kali ini, saya begitu teruja untuk berjumpa mereka sekali lagi untuk melihat sejauh mana tahap permainan mereka ketika ini. Saya begitu terkejut dengan kemenangan dua set kami hari ini,” katanya.

“Dengan kemenangan hari ini, sudah pasti ia akan melonjakkan lagi semangat kami. Kami memang memerlukan aura kemenangan kerana sebelum ini kebanyakan yang kami tewas adalah menerusi rubber game. Kita akan terus bersedia untuk aksi seterusnya,” tambah Pei Jing.

Sementara itu, Kian Meng berkata kemenangan itu melegakannya sambil menambah:  “Menang hari ini memang agak gembira kerana ia kemenangan pertama untuk tahun 2019, tambahan pula kami beraksi di halaman sendiri.

"Paling penting adalah kami memerlukan sokongan padu penyokong badminton negara.

“Kemenangan hari ini bukan kami berdua sahaja terkejut. Ia terhasil daripada sokongan semua pihak.” 

Sementara itu, pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berdepan cabaran lebih mudah ketika berdepan wakil Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara.

Peng Soon-Liu Ying membuktikan mengapa mereka pasangan yang berada di ranking kelima dunia apabila tenang mengawal rentak permainan.

30 minit hanya diperlukan Olimpian Rio 2016 itu merekodkan kemenangan mudah 21-13 dan 21-19.

"Saya berasakan kemenangan ini melonjakkan semangat kami selepas mengharungi saingan yang mengecewakan ketika menghadapi Jelajah Eropah," kata Liu Ying.

Selain mereka, antara pemain negara yang berjaya melepasi pusingan pertama adalah gandingan profesional, Chooi Kah Meng-Low Juan Shen.

Advertisement

Must Watch Video