Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Kian Meng-Pei Jing harap separuh akhir mampu lonjak momentum

tan-kian-meng-lai-pei-jing.jpg
Wakil terbaik negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, enggan terlalu teruja dengan kebangkitan semula kerjaya daripada kemerosotan luar biasa.

Pada satu ketika, Kian Meng-Pei Jing, pernah bergelar gandingan 10 terbaik dunia sebelum dibelenggu pelbagai dugaan.

Ini termasuklah ketika mereka kehilangan ahli keluarga pada 2018 apabila Kian Meng kehilangan seorang abang sementara Pei Jing pula kehilangan ayah tercinta.

Musim 2019 sahaja menyaksikan mereka dihadiahkan empat penyingkiran dalam pusingan pertama sehinggalah kebangkitan menakjubkan dalam Terbuka Malaysia.

Sebelum kecundang dalam separuh akhir di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam, Kian Meng-Pei Jing memulakan kempen dengan memastikan bekas juara Seluruh England berputih mata dalam pusingan pertama.

Bagaimanapun kedua-dua pemain itu sedar perjalanan untuk mereka kembali ke kemuncak dunia bukan bersandar kepada prestasi dalam satu kejohanan.

"Saya harap dalam setiap kejohanan yang kami sertai, kami mampu melakar keputusan seperti ini.

"Setiap pemain ada tempoh naik dan turun, justeru kami akan cuba bawa semangat ini dalam setiap perlawanan," kata Pei Jing. 

Kian Meng mempunyai pandangan tersendiri terhadap perkembangan beregu campuran yang disifatkan sebagai lebih mencabar. 

"Pada pandangan saya, saingan beregu campuran ketika ini sudah berbeza, saingannya lebih sengit. 

"Memasuki kelompok 10 terbaik dunia pasti ada bezanya, itulah yang sedang kami usahakan," kata Kian Meng. 

Advertisement

Must Watch Video