Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Dua beregu campuran bawa cabaran negara

peng-soon-liu-ying.jpg
Maruah negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, kini bergantung kepada dua beregu campuran yang akan membawa cabaran di peringkat suku akhir.

Saingan pusingan kedua semalam membawa seribu harapan menerusi lapan wakil negara sebelum lima daripadanya kecundang, termasuk empat beregu lelaki, sementara satu lagi beregu campuran, Shevon Lai-Goh Soon Huat, terpaksa menarik diri ekoran faktor kesihatan Soon Huat.

Pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, akan menjadi wakil pertama negara untuk turun berdepan gandingan China, Wang Yilyu-Huang Dongping, petang ini.

Tiga pertemuan lalu menyaksikan dua kemenangan berpihak kepada gandingan negara itu.

"Kami berkelebihan di gelanggang sendiri, namun apa yang paling penting adalah kami mengekalkan pretasi yang baik kerana berdasarkan pertemuan sebelum ini, kami memiliki rekod 2-2 dengan mereka," kata Liu Ying.

"Ia sebenarnya 2-1 kerana kami hanya tewas sekali kepada mereka," kata Peng Soon sebagai membetulkan kenyataan pasangannya itu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, akan berentap dengan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow. 

"Pada tahap ini, kami perlu bersedia dengan sebaik-baiknya bagi menghadapi setiap lawan.

"Prestasi kami setakat ini seperti 'roller coaster'.

"Kami perlu bersedia bukan sahaja daripada aspek strategi tetapi jiwa kami juga," kata Pei Jing.

Advertisement

Must Watch Video