Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Chong Wei kecewa tidak ambil bahagian

chongwei.jpg
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, hari ini menyuarakan kekecewaannya kerana tidak dapat bertanding dalam Kejohanan Terbuka Malaysia kali ini.

Chong Wei, juara Terbuka Malaysia 12 kali, berkata kejohanan itu bukan sahaja mengembalikan semula banyak memori indah tapi turut menjadi impian semua yang bertanding untuk merebut gelaran juara.

“Amat sedih saya tidak dapat mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia 2019 tapi saya harap semua peminat badminton negara dapat datang untuk memberi sokongan dan sorakan kepada pemain-pemain negara.

“Saya sendiri akan berada di sana hujung minggu ini sebagai pemerhati tahun ini. Jumpa anda di sana,” kata Chong Wei menerusi instagram @leechongweiofficial hari ini.

Peminat sukan badminton Malaysian terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan Chong Wei kembali beraksi selepas pemain itu mengesahkan keputusan untuk tidak mengambil bahagian dalam Terbuka Malaysia tahun ini walaupun proses pemulihan daripada kecederaannya sedang berjalan dengan baik.

Doktornya menasihatkannya untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan Peringkat 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) supaya tubuh badannya tidak berhadapan dengan sebarang tekanan buat sementara waktu.

Chong Wei, yang mengelak sebarang kejohanan selama lapan bulan selepas menjalani rawatan bagi kanser hidung peringkat awal di Taiwan, pernah memenangi gelaran juara Terbuka Malaysia dari 2004 sehingga 2006; 2008 sehingga 2014; dan juga pada 2016 dan 2018.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video