Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, dalam final Kejohanan Badminton Terbuka China di Changzhou sebentar tadi.

Sze Fei dan Izzuddin bermula perlahan dalam set pertama, di mana mereka ketinggalan 0-6 sebelum tewas mudah 13-21.

Bagaimanapun, kecederaan belakang yang dialami He Ji Ting pada penghujung set pertama merencatkan rentak permainan beregu China itu untuk Sze Fei dan Nur Izzuddin merampas set kedua dengan kemenangan 21-12.

Keadaan itu terus dimanfaatkan pasangan negara berkenaan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu dengan kemenangan 21-17 dalam set ketiga selepas bertarung selama 58 minit.

Sebagai rekod, hanya acara beregu lelaki gagal dimenangi China dalam edisi kali ini.

Kejayaan itu juga menyaksikan Sze Fei dan Nur Izzuddin menamatkan kemarau 35 tahun kejuaraan beregu lelaki negara dalam Terbuka China, yang kali terakhir dimenangi Razif dan Jalani Sidek pada 1989.

Selaku juara, Sze Fei dan Nur Izzuddin membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah US$148,000 (RM622,000).