Skip to main content

Badminton

Terbuka Australia: Paulus optimis kebolehan skuad beregu negara

paulus_1.jpg
Ketua jurulatih skuad beregu lelaki negara, Paulus Firman, meletakkan sasaran untuk anak didiknya sekurang-kurangnya mara ke suku akhir atau separuh akhir bagi setiap kejohanan yang akan disertai selepas ini bagi memudahkan pemburuan mata Olimpik.

Skuad badminton negara akan meneruskan pemburuan mata ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan Kejohanan Terbuka Australia bulan depan menjadi tumpuan.

Tiga gandingan negara bakal turun menyahut cabaran, termasuk gandingan yang menyerlah ketika aksi Piala Sudirman, iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

"Saya harap mereka perlahan-lahan dapat mula konsisten mulai sekarang untuk naikkan ranking. Ia perlu langkah demi langkah, sekurang-kurangnya mara ke suku akhir atau separuh akhir," kata Paulus.

Paulus juga menambah kempen dalam Piala Sudirman sepatutnya menjadi motivasi terbaik buat anak buahnya supaya lebih menyerlah dan matang ketika saingan Terbuka Australia nanti tatkala hanya berbaki beberapa bulan sebelum menuju Olimpik Tokyo.

"Apa yang mereka capai ketika Piala Sudirman sebelum ini, ia jadi motivasi. Piala Sudirman adalah acara berpasukan, jadi kadangkala ia berbeza sewaktu melibatkan saingan individu. Jadi, saya harap mereka mampu meneruskannya."

Terbuka Australia juga akan disertai tonggak perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, Goh Jin Wei, dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bagi acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani, bertekad bangkit dalam saingan Terbuka Australia bagi memburu tiket ke Tokyo 2020.

Izzuddin tidak mendapat peluang untuk beraksi dalam Piala Sudirman 2019, namun tetap mahu membuktikan kebolehan bersama gandingannya, Goh Sze Fei, di Australia nanti.

Kali terakhir pasangan muda itu beraksi adalah ketika Terbuka New Zealand, April lalu, dan kini bersedia mengharungi saingan seterusnya dan menyasarkan sekurang-kurangnya menempah nama ke pusingan suku akhir. 

"Jurulatih telah berikan program untuk perbaiki kelemahan serta keserasian bersama pasangan masing-masing. Kami juga cuba perbaiki masalah ketika di New Zealand serta Jerman untuk mendapatkan keyakinan semula," ujar Izzuddin.

Keyakinan itu hadir apabila dia menganggap keserasiannya bersama Sze Fei kini berada di tahap terbaik.

"Prestasi kami telah beraksi di tahap tinggi, jadi taraf hampir sama. Kami cuba masuk ke dalam kelompok 15 terbaik dan cuba layak ke Olimpik," tambah Izzuddin.

Advertisement

Must Watch Video