BADMINTON
Terbuka Australia: Elak kecederaan Soon Huat bertambah buruk
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Chin Ee Hui, terpaksa mengambil risiko mengeluarkan penyertaan Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai daripada menyertai Terbuka Australia, Isnin ini, setelah Soon Huat ditimpa kecederaan pada saat-saat akhir.
Soon Huat dilaporkan mula menghadapi masalah hamstring ketika sesi latihan dua hari lalu sebelum laporan perubatan mengesahkannya, hanya 24 jam sebelum mereka berlepas ke Australia.
Keputusan menarik diri pada saat-saat akhir itu dibuat memandangkan Ee Hui enggan kecederaan anak buahnya itu berlarutan yang boleh menjejaskan peluang Soon Huat-Shevon untuk mengutip mata bagi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Iklan
Ketika ini, ranking mereka dalam kelayakan ke Sukan Olimpik adalah di tangga keenam.
"Kecederaannya perlu diberi keutamaan.
"Kalau pemain menanggung kecederaan ketika beraksi dalam kejohanan, ia boleh menjadi bertambah buruk sehingga memerlukan proses pemulihan yang lebih lama.
"Lebih baik Soon Huat fokus kepada proses pemulihannya," katanya.
Ketiadaan Soon Huat-Shevon bermakna Ee Hui terpaksa bergantung harap kepada satu lagi pasangan anak didiknya, iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang turut ingin mengukuhkan mata ranking ke Sukan Olimpik.
"Kami tidak boleh jangkakan bilakah dia akan pulih memandangkan ini adalah kecederaan terbarunya dan kami hanya mendapat tahu tentangnya dua hari lalu," katanya lagi.
Selain itu, Malaysia juga turut mempunyai satu wakil profesional menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Must-Watch Video



