Skip to main content

Badminton

Sukma: Penampilan pemain elit beri impak

bad.jpg
Percaturan beberapa pasukan negeri membariskan pemain elit badminton negara membuahkan hasil untuk membantu meraih kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan acara badminton berpasukan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Wilayah Persekutuan yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan tampak tiada masalah untuk melakar kemenangan menentang pasukan Terengganu dalam saingan Kumpulan B, apatah lagi mereka perlu menang perlawanan itu untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya setelah tumpas kepada Pulau Pinang dalam perlawanan pembukaan.

Dibarisi anak didik Datuk Misbun Sidek dalam kem negara, pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, tampak tiada masalah untuk menyumbangkan mata sambil Soh Wooi Yik yang bergandingan dengan Hoo Pang Ron turut mempamerkan persembahan cemerlang dalam acara beregu lelaki, membolehkan mereka menang 5-0. 

Mereka bakal meneruskan aksi di Perak menentang pasukan dari Sabah selepas ini. 

"Sasaran kami memang mahu mendapatkan emas kerana pasukan kami agak stabil pada tahun ini. Saya cuba yang terbaik untuk membantu skuad," kata Wooi Yik.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Johor menjamin slot ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Sarawak 4-1.

Sebelum itu, mereka turut garang apabila mengatasi cabaran Melaka 3-2. 

"Itu sebahagian daripada permainan. Ada menang dan kalah. Jadi, saya rasa prestasi saya dalam perlawanan ini juga tidak begitu baik kerana memiliki komitmen lain di luar seperti proses pembelajaran.

"Namun, saya akan tetap berikan yang terbaik untuk Johor," kata pemain beregu lelaki Johor, Ameer Amri Zainuddin.
 

Advertisement

Must Watch Video