Walaupun turun dengan skuad muda dalam edisi kali ini, pasukan negara beraksi penuh terpuji untuk menempah tiket final menentang Thailand esok.
Turun selaku perseorangan pertama, Kok Jing Hong jelas sukar untuk menandingi juara dunia dari Singapura, Loh kean Yew, di mana pemain nombor 212 dunia itu tewas 12-21, 12-21.
Tekanan skuad negara kian memuncak selepas beregu utama, Wan Arif Wan Junaidi-Man Wei Chong, tewas 19-21, 13-21 kepada gandingan Terry Hee-Loh Kean Hean.
Bagaimanapun, pemain di ranking ke-276 dunia, Lee Shun Yang, mula merencanakan kebangkitan Malaysia apabila mengejutkan lawan nombor 88 dunia, Jason Teh, dengan kemenangan 21-12, 21-23, 21-16.
Meneruskan momentum kemenangan itu adalah gandingan Chen Tang Jie-Haikal Nazri, yang menewaskan Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek 21-17, 21-15, untuk Malaysia mengikat kedudukan.
Bebanan memburu mata kemenangan kemudian digalas pemain di ranking ke-434 dunia, Shaqeem Eiman Shahyar, yang jelas tidak mengecewakan dalam memastikan kemaraan skuad bimbingan Datuk Misbun Sidek itu dengan kemenangan 21-10, 21-17 ke atas Joel Koh.
Malaysia seterusnya akan berdepan Thailand dalam aksi final esok selepas lawan berkenaan menewaskan Indonesia 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"What a game" Malaysia layak Final terus menutup kemaraan Singapura bagi acara berpasukan badminton lelaki#semarakjuara #sukansea2021 #seagames2021 #sokongmalaysia pic.twitter.com/ruwAoOUYR8
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 17, 2022