Skip to main content

Badminton

Sukan Olimpik 2020: Hendrawan, Misbun sahut cabaran

hendrawan-misbun.jpg
Selain kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, Hendrawan menggalas tanggungjawab berat dalam memastikan barisan perseorangan lelaki berupaya menggantikan pengaruh Datuk Lee Chong Wei dalam tugasan berpasukan, Piala Thomas.

Pemain senior, termasuk Lee Zii Jia, dicanang sebagai tonggak skuad Piala Thomas 2020 di Denmark. 

Selain Zii Jia, perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berada dalam kelompok program pengendali dari Indonesia itu adalah Soong Joo Ven dan Cheam Jun Wei.

"Sejak persaraan Datuk Lee Chong Wei, ramai yang tertanya-tanya mengenai siapakah yang boleh menggalas ketiadaannya. 

"Selama ini, kita hanya melihat Chong Wei sebagai sandaran dalam Piala Thomas.

"(Pengarah Kejurulatihan BAM) Woong Chong Hann sudah menetapkan sasaran, iaitu Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi dalam masa yang sama, saya perlu mempersiapkan sekurang-kurangnya empat pemain perseorangan lelaki untuk menghadapi Piala Thomas," katanya. 

Hendrawan, bagaimanapun, menegaskan tugasan berkenaan tidak akan mengancam keharmonian bahagian perseorangan lelaki negara. 

Ia elemen yang menjadi perbincangan hati ke hati di antara dia dan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, yang kini lebih fokus kepada pembangunan pemain muda.

"Kini saya perlu mengatur program dan latihan pemain tetapi saya juga sedia membantu jurulatih lain kerana secara berseorangan, saya tidak mampu (menjayakannya)," ujarnya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Misbun pada masa sama menerima perubahan dalam skuad perseorangan lelaki dengan hati terbuka meskipun penstrukturan semula itu tidak dicapai menerusi kata putus daripada pandangannya. 

Dua tahun sejak kembali ke badan induk itu, beliau berasakan sudah ada pembentukan semula yang baik ke atas perwatakan pemain negara.

Tempoh lanjutan kontraknya sehingga Julai 2020 akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Misbun dalam meneruskan programnya.

"Saya hanya diberitahu bahawa inilah perancangan yang telah diaturkan.

"Saya tiada masalah untuk melatih mana-mana pemain sekalipun tetapi yang penting, saya mempunyai tempat untuk membimbing pemain yang ditugaskan.

"Ketika ini, Leong Jun Hao masih menjalani program pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya juga mempunyai pemain seperti Tan Jia Wei, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Ng Tze Yong dan Lim Chi Wing. 

"Biarpun dengan status mereka itu, saya rasa tiada masalah (buat saya untuk membentuk mereka) ," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video