Skip to main content

Badminton

Sukan Asia: Daren sekarang mungkin sudah berbeza, kata Misbun

misbun.jpg
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, akan merencanakan perubahan yang diperlukan skuad susulan pemilihan Liew Daren bagi menggantikan Datuk Lee Chong Wei untuk menghadapi Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pelbagai aspek perlu ditangani Misbun, antaranya kecederaan Daren dan peranan yang mampu ditawarkannya dalam pemburuan pingat acara berpasukan.

"Baru-baru ini, dia ada kecederaan dan saya harap dia pulih dalam masa terdekat. Saya melihat ke arah positif. 

"Kalau sebelum ini, kalau ada tekanan, Daren belum tentu boleh sesuaikan diri tetapi ketika ini, dia mungkin berbeza. Saya tidak tahu sebab sudah lama tidak jaganya.

"Untuk prospek pingat, saya harus terima kerana ia satu percaturan yang besar," kata Misbun.

Sementara itu, Lee Zii Jia tidak gentar memikul tanggungjawab sebagai perseorangan dalam acara individu.

Dia juga berkongsi pandangan terhadap adanya pengaruh senior dalam skuad Sukan Asia memandangkan Daren menjadi pilihan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei.

"Terima kasih kepada jurulatih Misbun sebab dia percayakan saya. Saya berharap saya boleh buat kejutan.

"Walaupun Chong Wei tiada, kami akan teruskan semangatnya. Kalau dia sertai pasukan, saya rasa kita lebih kuat sikit.

"Tetapi ini adalah pilihannya sebab dia masih ada kecederaan. Saya harap dia boleh pulih cepat," kata Zii Jia.

Daren dipilih untuk beraksi dalam acara perseorangan dalam Sukan Asia selepas meraih gangsa Kejohanan Dunia di Nanjing, China, minggu lalu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Daren selepas tiba ke tanah air dari China, hari ini.

Daren, yang kali terakhir beraksi di atas tiket BAM pada 2016, ketika ini menghuni ranking ke-39 dunia.
 

Advertisement

Must Watch Video