Skip to main content

Badminton

Sudah sampai masa untuk fahami keadaan Chong Wei -- James

chong-wei.jpg
Selepas hajat Datuk Lee Chong Wei untuk kembali ke gelanggang kompetitif terus tersekat, mungkin sudah tiba waktunya untuk peminat badminton tanah air dan pemain negara menelan realiti sukar yang menimpa jaguh perseorangan itu.

Kejohanan Piala Sudirman 19-26 Mei ini sepatutnya menjadi medan buat Chong Wei melakukan penampilan semulanya selepas menjalani rawatan kanser hidung.

Sebaliknya, bekas pemain nombor 1 dunia itu terpaksa berputih mata dan melepaskannya.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berasakan ada kemungkinan besar untuk kemarau kebangkitan semula Chong Wei itu berpanjangan.

"Ketika mereka mengatakan bahawa dia akan tersenarai, saya berasa ragu-ragu untuk dia kembali tampil buat kali pertama.

"Ia merupakan kejohanan ketiga yang dia tidak dibenarkan untuk beraksi.

"Ia bermakna tahap pemulihannya agak perlahan dan saya berasakan sudah tiba masanya untuk semua pihak memahami keadaannya.

"Kita tidak boleh menekannya untuk kembali tetapi menunggu sehingga doktor membenarkannya untuk kembali walaupun dia sudah mula berlatih," katanya.

Dalam pada itu, James menegaskan skuad Piala Sudirman negara yang diketuai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, perlu meyakinkan peminat Malaysia bahawa mereka mampu untuk meneruskan legasi Chong Wei.

Sekalipun tidak diletakkan sasaran dalam edisi kali ini, Malaysia sepatutnya melepasi cabaran peringkat Kumpulan D yang turut menampilkan China dan India.

"Saya berasakan BAM sudah melakukan perkara yang tepat dengan menyenaraikan pemain muda.

"Anda perlu menyenaraikan pemain muda, namun perlu meletakkan sasaran buat mereka.

"Apa sahaja keadaan yang berlaku, anda perlu meletakkan sasaran ke suku akhir.

"Ia supaya barisan pemain muda itu akan menyedari sasaran mereka.

"Jika mereka mampu mencapai sasaran itu, ia baik, namun jika mereka gagal, mereka perlu memperbaikinya.

"Kita tidak boleh kandas dalam pusingan pertama.

"Kita tidak boleh tewas kepada India," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video