Skip to main content

Badminton

Sirkit Remaja Kebangsaan: Letshanaa realisasikan pertemuan dengan Arena

k-letshanaa.jpg
K. Letshanaa bertekad membalas dendam ke atas wakil Sabah, Arena Satu Samin, di pentas akhir Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Final Sirkit Remaja Kebangsaan 2019 di Kelab Rekreasi Negeri Sembilan (NSCRC), Seremban, hari ini. 

Ia susulan pemain perseorangan wanita Selangor itu sebelum ini tewas kepada Arena dalam Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan Divisyen 1 Johor Bahru, Mei lalu. 

Letshanaa terpaksa bermandi peluh untuk menempah slot ke pentas akhir sebelum menewaskan pilihan pertama yang juga wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Zhing Yi, 21-18, 10-21, 21-14. 

"Aksi set pertama sangat sengit tetapi saya berjaya memenangi pertarungan itu. 

"Namun, aksi saya agak kelam-kabut dalam set seterusnya sehingga menjejaskan fokus.

"Saya harap dapat membalas dendam ke atas Arena dalam aksi final esok, saya mahu bergelar juara," ujar Letshnaa. 

Juara bertahan, Arena, turut ke perlawanan akhir meskipun terpaksa beraksi dalam tiga set sebelum menyingkirkan pemain BAM, Khor Jing Wen, 13-21, 24-22, 21-18. 

Sementara itu, Muhammad Fazriq Mohd Razif menepati ramalan selaku pemain pilihan kejohanan apabila menundukkan rakan sepasukan, Cheong Yan Seng, 21-16, 21-18. 

"Pemburuan setiap mata sangat sengit tetapi Yan Seng kerap melakukan kesilapan di penghujung set pertama sebelum saya dapat mengawal situasi pihak lawan dalam set kedua," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video