Skip to main content

Badminton

Sirkit Remaja Kebangsaan: Fazriq tempah dua aksi final

fazriq-razif_1.jpg
Muhammad Fazriq Mohd Razif membuktikan kecemerlangan selepas mengesahkan dua slot final Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Final Sirkit Remaja Kebangsaan 2019 dalam kategori perseorangan dan beregu di Kelab Rekreasi Negeri Sembilan (NSCRC), Seremban, sebentar tadi. 

Fazriq, anak legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, terlebih dahulu menempah tiket final dalam kategori perseorangan apabila menyingkirkan rakan sepasukan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Anson Cheong Yan Feng, 21-16, 21-18 dalam separuh akhir.

Dalam final esok, dia akan berdepan pemain bukan pilihan dari Kuala Lumpur, Hooi Shao Herng, yang sebelum itu mengejutkan pemain BAM, Justin Hoh Shou Wei, 21-15, 21-15 di peringkat sama.

Turun semula dalam separuh akhir beregu kemudian, Fazriq, yang bergandingan dengan Shou Wei, menang bergaya ke atas rakan sepasukan, Kok Jia Cheng-Mohamed Faris Amrin Mohd Roslan, 21-13, 21-17. 

Bagaimanapun, Fazriq dan Shou Wei tidak meletakkan sebarang sasaran dalam final apabila terpaksa berhadapan dengan pilihan pertama, Rayner Beh Chun Meng-Goh Bun Zhee. 

"Kami tidak meletakkan sasaran dalam final sebab pernah dikalahkan mereka.

"Jadi, sebagai beregu 'underdog', kami akan berikan aksi terbaik," kata Fazriq. 

Chun Meng-Bun Zhee mara ke pentas akhir selepas menewaskan Choi Jian Sheng-Wong Vin Sean 21-13, 21-12. 

Dalam pada itu, pilihan pertama kategori beregu wanita, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, menepati ramalan untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas menang mudah ke atas rakan sepasukan, Tai Jo Yi-Lee Xin Jie, 21-9, 21-16. 

"Saya memiliki keyakinan dalam permainan sendiri, cuma tidak cukup garang, contohnya ketika melakukan rejaman.

"Saya yakin boleh menang esok ," kata Su Yin.
 

Advertisement

Must Watch Video