Skip to main content

Badminton

Sirkit Remaja Kebangsaan: Fazriq raih kejuaraan berganda

fazriq-razif.jpg
Langkah positif buat Muhammad Fazriq Mohd Razif selepas mengungguli kategori perseorangan dan beregu bawah 16 tahun (B-16) dalam Kejohanan Badminton Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 2019 di Seremban, hari ini. 

Fazriq, anak kepada legenda negara, Datuk Razif Sidek, mengesahkan kejuaraan perseorangan terlebih dahulu apabila menundukkan pemain bukan pilihan dari Kuala Lumpur, Hooi Shou Herng, 22-20, 21-15. 

"Pada awal set pertama dan kedua, pihak lawan menampilkan satu permainan yang cukup bagus dan berkualiti tinggi. 

"Saya juga melakukan sedikit kesilapan pada awal permainan tetapi saya dapat mengatasinya dengan aksi konsisten," ujarnya. 

Turun semula dalam aksi final beregu, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu bersama-sama gandingannya, Justin Hoh Shou Wei, menang bergaya ke atas pilihan pertama, Rayner Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe, 21-14, 21-17. 

Dalam aksi perseorangan wanita B-16 tahun pula, perlawanan sengit memaksa wakil Selangor, K. Letshanaa, diheret ke set penentuan sebelum merampas takhta juara kejohanan daripada wakil Sabah, Arena Satu Samin, 10-21, 21-9, 21-15. 

"Arena beraksi baik dan tangkas dalam set pertama sambil saya cuba menguasai permainan terlebih dahulu. 

"Dalam set seterusnya, saya mula memikirkan langkah untuk memungut mata manakala galakan daripada jurulatih juga membantu," kata Letshanaa. 

Sementara itu, Tan Zhing Yi, menebus kekecewaan dalam acara perseorangan semalam dengan mengalih tumpuan kepada kategori beregu. 

Zhing Yi di samping gandingannya, Khor Jing Wen, terpaksa beraksi dalam tiga set sebelum melakar kejutan untuk mengetepikan juara bertahan, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin, 21-15, 9-21, 21-19. 
 

Advertisement

Must Watch Video