Skip to main content

Badminton

Salah penetapan minda punca Aaron-Wooi Yik terlalu tertekan -- Rexy

rexy-mainaky_1.png
Penetapan minda yang salah menjadi punca Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi terlalu tertekan sehingga gagal ke final Kejohanan Badminton Masters Malaysia, demikian kata Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Aaron dan Wooi Yik sekali lagi terkandas di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia semalam selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Ia merupakan kali keempat beregu lelaki utama negara itu terkandas di peringkat sama sepanjang musim ini selepas Terbuka Thailand, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia.

Bagi Rexy, kegagalan pasangan nombor enam dunia itu adalah disebabkan mereka terlalu terbawa-bawa dengan kedudukan ranking lebih baik sehingga tertekan untuk menewaskan lawan.

"Apa yang dipamerkan mereka di atas gelanggang amat berbeza, mereka bermain dengan penuh beremosi, panik dan kelihatan seperti mereka berasa lebih baik berbanding Fajar dan Rian," kata Rexy kepada Astro Arena.

"Pada akhirnya, mereka sendiri berasa tertekan dan panik sedangkan pada akhir-akhir ini, Fajar dan Rian sudah mendominasi mereka.

"Sebagai beregu dalam kelompok 10 terbaik dunia dan pernah mendapatkan pingat dalam Sukan Olimpik, perasaan seperti itu sepatutnya tidak boleh ada.

"Mereka sepatutnya mempunyai perasaan tidak takut untuk kalah kerana saya lihat Fajar dan Rian langsung tidak berasa tertekan, berbeza dengan Aaron dan Wooi Yik yang terlalu memikirkan mereka tidak mahu kalah.

"Bagi saya, ia adalah fikiran yang salah. Mereka tidak boleh berfikir seperti itu. Mereka sepatutnya bermain dengan tidak takut untuk kalah," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video