Skip to main content

Badminton

Rashid: Bukan senang cari pengganti Chong Wei

rashid.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bijak menangani rombakan membabitkan skuad perseorangan lelaki agar usaha ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, melahirkan pengganti Datuk Lee Chong Wei tidak terjejas.

BAM dijangka melakukan beberapa perincian kepada struktur kejurulatihan kem kebangsaan dan difahamkan kedudukan Misbun sebagai ketua jurulatih tidak tergugat.

Namun, perubahan membabitkan jurulatih dalam skuad perseorangan lelaki, termasuk Hendrawan, menjadi agenda Jawatankuasa Kejurulatihan Dan Latihan (C&T) BAM.

Bekas jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek, berpandangan selain perlu mendapatkan maklum balas daripada Misbun, BAM juga perlu percaya dengan perancangan program pasca Chong Wei yang sudah mula membuahkan hasil menerusi Lee Zii Jia.

“Saya tidak kata mana yang salah atau betul tetapi kami beri pandangan berdasarkan pengalaman. Kalau nak bandingkan pemain-pemain luar dengan Chong Wei memang jauh kecuali Lin Dan. Jadi, kalau mahu dapatkan pengganti Chong Wei, memang ada seperti Zii Jia tetapi masih belum mencapai tahap dimahukan,” katanya.

Dalam masa sama. bekas jaguh perseorangan itu berasakan badan itu juga perlu mengetepikan sentimen peribadi dan melihat kepada pencapaian Hendrawan sepanjang hampir sedekad bersama BAM apabila memutuskan masa depannya.

Sebelum ini, Hendrawan tidak berselindung di sebalik beberapa tawaran luar, termasuk negara kelahirannya, Indonesia, meskipun kontraknya bersama BAM hanya akan luput pada Disember 2020.

“Bagi saya, ia tidak boleh dilihat berdasarkan penjagaan terhadap Chong Wei sahaja. Dia memang seorang juara sebelum dia datang.

"Sebelum itu, Misbun yang menaikkan Chong Wei dan saya hanya mengekalkannya. Daripada Hendrawan, perlu lihat siapa yang dia naikkan, itu yang penting untuk BAM kenal pasti penanda aras buatnya,” tambah Rashid.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menegaskan kepentingan untuk Misbun memiliki kuasa penuh ke atas perancangan pasukan.

Tanpa pengaruh seorang senior, mereka memerlukan jurulatih yang tidak akan berkompromi dengan sebarang ketirisan dalam kualiti latihan dan disiplin.

Dia juga menawarkan pandangan mengapa pertukaran portfolio buat Hendrawan baik untuk mengelak sebarang kemelut yang mampu menjejaskan skuad perseorangan lelaki.

“Selama ini, saya di bawah kendalian Hendrawan. Dia memang seorang jurulatih yang mengamalkan konsep ke hati. Dia berlembut dengan pemain,” katanya.

"Cuma, saya rasa dengan generasi sekarang, kami perlukan jurulatih dengan kekerasan seperti Misbun. Apabila melibatkan pemain muda, kami perlukan ketegasan seorang jurulatih yang berwibawa dan boleh percaya apa yang perlu diikut. 

"Saya tahu Misbun seorang yang tegas," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video