Skip to main content

Badminton

Purple League: KB Kepong catat kemenangan sulung

jooven221217.jpg
Kelab Badminton (KB) Kepong berjaya menemui kemenangan pertama selepas mengatasi KB Cheras 12-8 dalam saingan SS Purple League di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

KB Kepong yang tewas 7-12 kepada KB Petaling dalam perlawanan pertama Isnin lalu turun dengan misi besar mencipta kemenangan sulung musim ini.

Misi mereka nampak cerah sejak perlawanan perseorangan lelakinya, Soong Joo Ven, yang menewaskan Chong Yee Han 3-1 (11-10, 7-11, 11-4, 11-6).

Pemain perseorangan wanita KB Kepong, Ho Yen Mei, menjarakkan kedudukan pungutan mata keseluruhan kepada 6-1 setelah mengatasi pemain KB Cheras, Grace Chua Hui Zhen, dengan 3-0 (11-5, 11-2, 11-7).

KB Kepong terkedu seketika apabila sikap tidak mudah menyerah kalah KB Cheras yang melakukan kebangkitan dalam acara beregu lelaki. Gandingan KB Cheras, Amirsyazwan Al-Razi/Mohd Arif Latif, menang 3-1 (11-6, 11-10, 4-11, 11-9) ke atas Azriyn Ayub/Yang Po Han, sekali gus merapatkan pungutan mata keseluruhan 7-4. 

Acara beregu campuran berlangsung sengit selepas itu memandangkan kedua-dua pasukan memerlukan mata penting. Apapun, ia nyata memihak KB Kepong melalui pasangan Goh Soon Huat/Ng Wing Yung yang menang 3-2 (11-9, 11-6, 7-11, 9-11, 6-5) berdepan Hendra Gunawan/Tan Wei Han untuk kembali menjarakkan kedudukan semasa kepada 10-6.

Dalam satu lagi acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain KB Kepong, Thongnuam Pannawit, sekadar seri 2-2 (4-11, 8-11, 11-9, 9-8) bertemu pemain KB Cheras, Tommy Sugiarto. Keputusan seri 2-2 bagaimanapun tidak memberi kesan kepada KB Kepong untuk keluar sebagai pemenang perlawanan ini.

Pemain negara yang beraksi untuk KB Kepong, Goh Soon Huat, berkata: “Walaupun pasangan saya tadi bukanlah pasangan asal dalam skuad kebangsaan tetapi kami tetap mampu berkomunikasi dengan baik dan lakukan yang terbaik untuk menang.

“Dalam perlawanan pertama lalu, saya juga kecewa kerana gagal membantu KB Kepong mendapatkan mata selepas tewas 1-3 kepada pihak lawan. Jadi, dengan kemenangan malam ini, saya rasa gembira. Sudah tentu ia akan meningkatkan usaha membawa pasukan berada di kedudukan enam teratas liga untuk mara ke peringkat akhir nanti,” katanya.

Sebelum itu, KB Puchong United melakukan kejutan menerusi kemenangan besar ke atas juara SS Purle League musim lalu, KB Petaling Jaya, dengan keputusan 15-3 pada aksi sebelah petang.

Keputusan hari ini:

KB Kepong mn KB Cheras 12-8

MS2: Soong Joo Ven mn Chong Yee Han 3-1 (11-10, 7-11, 11-4, 11-6)
WS: Ho Yen Mei mn Grace Chua Hui Zen 3-0 (11-5, 11-2, 11-7)
MD: Nur Mohd Azriyn Ayub-Yang Po Han kk Amirsyazwan Al-Razi-Mohd Arif Ab Latif 1-3 (6-11, 10-11, 11-4, 9-11)
XD: Goh Soon Huat-Ng Wing Yung mn Hendra Aprida Gunawan-Tan Wei Han 3-2 (11-9, 11-6, 7-11, 9-11, 6-5)
MS1: Thongnuam Pannawit sr Tommy Sugiarto 2-2 (4-11, 8-11, 11-9, 9-8)

KB Petaling Jaya kk KB Puchong United 3-15

MS2: Goh Giap Chin kk Liew Daren 1-3 (9-11, 11-9, 7-11, 7-11)
WS: Supanida Katethong kk Aya Ohori 0-3 (4-11, 9-11, 9-11)
MD: Chooi Kah Ming-Low Juan Shen kk Lim Khim Wah-Mak Hee Chun 2-3 (11-10, 8-11, 6-11, 11-9, 4-5)
XD: K. Yogendran-Ti Wei Chyi kk Lai Pei Jing-Tan Kian Meng 0-3 (1-11, 5-11, 6-11)
MS1: Lee Cheuk Yiu kk Wei Nan 0-3 (8-11, 10-11, 7-11) 

 
 

Advertisement

Must Watch Video